PRN Sarawak: Calon Bukit Sari tiba di PPC

Fadilah Sulaiman
Disember 6, 2021 08:56 MYT
Datuk Amar Awang Tengah (kiri) jadi calon pertama yang tiba di PPC bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari. - Astro AWANI
LAWAS: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (GPS) jadi calon pertama yang tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari pada jam 7.50 pagi tadi.
Calon kedua Alias Mail dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) tiba sejam kemudian pada pukul 8.47 pagi.
Dijangka sekurang-kurangnya seorang lagi calon akan hadir iaitu pesara tentera, Riyah Basrah dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) seperti yang diumumkan oleh partinya sebelum ini.
Proses penyerahan borang calon yang bermula pada jam 9 pagi hingga 10 pagi itu dilakukan di Majlis Daerah Lawas.
Untuk rekod, DUN Bukit Sari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 tahun 2016 menyaksikan Awang Tengah menang tanpa bertanding apabila tiada calon lain hadir untuk bertanding merebut kerusi tersebut.
Selain itu, kawasan Bukit Sari merupakan antara kawasan yang dibenarkan untuk berkempen secara bersemuka seperti SOP yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
#PRN Sarawak #Amar Awang Tengah Ali Hasan #Alias Mail #Bukit Sari
;