PRN Sarawak: Calon Aspirasi kreatif, berkempen di tepi jalan yang sesak

Afiezul Samit
Disember 10, 2021 13:13 MYT
Pau Teck berpandangan bahawa ini merupakan strategi terbaik untuk mendapatkan perhatian - Gambar Astro AWANI
KUCHING: Bawa sendiri banting kempen dan sanggup berdiri di kawasan yang sesak dengan lalu lintas menjadi strategi buat calon Batu Kawah daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Fong Pau Teck.
20 tahun melibatkan diri dalam politik, Pau Teck berpandangan bahawa ini merupakan strategi terbaik untuk dia mendapatkan perhatian.
Pau Teck akan mula berkempen seawal jam 7 pagi dalam tempoh dua hingga tiga jam di kawasan yang sesak dengan lalu lintas di kawasan Batu Kawah, terutamanya di persimpangan jalan dan bulatan.
Pada waktu petang pula, Pau Teck akan meneruskan semula kempennya bermula pada pukul 4.
"Ini merupakan cara terbaik untuk berkempen lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini yang tidak membenarkan kita untuk berkempen secara fizikal.
"Strategi saya untuk menyampaikan mesej 'Sarawak untuk Sarawak' kepada seluruh penduduk di kawasan Batu Kawah.
"Jadi saya memanfaatkan kesesakan lalu lintas untuk mereka lihat, kenal dan baca mesej yang dibawa," katanya ketika ditemui, di sini.
Klik untuk dapatkan perkembangan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021
Pau Teck mendedahkan telah lama menggunakan strategi kempen tersebut, dan bukan disebabkan kekangan prosedur operasi standard (SOP) untuk berkempen.
"Apabila saya berkempen seperti ini, ada kenderaan yang berhenti memberikan minuman.
"Ada yang menegur dan melambai ke arah saya.
"Saya rasa itu respons positif daripada mereka," tambahnya.
Terdahulu, DUN Batu Kawah bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru yang turut melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diwakili Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Kelvin Yii Lee Wuen dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Chai Kueh Khun dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Menyedari persaingan hebat di kerusi tersebut, Pau Teck mengakui tidak mahu terlalu fokus untuk menang, sebaliknya menyampaikan mesej 'Sarawak untuk Sarawak'.
#Kempen Aspirasi #Kempen di lampu isyarat #PRN Sarawak
;