PRN Sarawak: 'Buat pilihan tepat pada hari mengundi' - Awang Tengah

Bernama
Disember 17, 2021 11:03 MYT
Awang Tengah menyeru pengundi membuat pilihan tepat dalam memilih wakil rakyat yang terbaik. -Gambar fail/Astro AWANI
MIRI: Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) esok, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menyeru pengundi membuat pilihan tepat dalam memilih wakil rakyat yang terbaik.
Awang Tengah yang juga calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari berkata hanya pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) sahaja yang dapat memastikan hak Sarawak terus diperjuangkan, selaras dengan apa yang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau juga berjanji akan meneruskan agenda pembangunan di Bukit Sari serta membela kebajikan rakyat untuk membina asas-asas yang kukuh untuk masa depan generasi muda di kawasan itu.
"Pertarungan tiga penjuru di Bukit Sari kali ini membuktikan sistem demokrasi memberi peluang kepada anda semua untuk menentukan pemimpin anda.
"Justeru laksanakan tanggungjawab anda di peti undi kelak," katanya menerusi klip video kempen berdurasi hampir empat minit yang disebarkan kepada orang ramai disini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas pilihan raya, anggota keselamatan serta jentera parti yang bertungkus lumus menjalankan tugas sepanjang tempoh kempen serta pematuhan norma baharu.
Esok 1,213,769 pengundi di Sarawak akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian bagi memilih wakil rakyat mereka dan membentuk kerajaan negeri.
-- BERNAMA
#PRN Sarawak #Sarawak Memilih #PRN12 #Awang Tengah Ali Hassan
;