PRN Sarawak: Berkempenlah secara bersih dan adil - Presiden SUPP

Shafik Ahmad
Disember 6, 2021 13:24 MYT
"Kali ini, biar rakyat yang menentukan segalanya, apa yang telah dilakukan selama ini." - Facebook/Dr Sim Kui Hian
KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Datuk Seri Sim Kui Hian mahu menyaksikan kempen pilihan raya diadakan dalam keadaan bersih dan adil.
Mengulas mengenai perkara itu, kata calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Batu Kawah itu, apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 12 hari berkempen.
“Semua yang bertanding mahu mendapatkan sokongan rakyat menerusi kempen, namun biarlah ia diadakan dalam suasana yang adil dan bersih.
“Sekarang banyak penyebaran berita palsu, fitnah dan penyalahgunaan media sosial dalam menyebarkan perkara tidak sahih,” katanya.
Menurutnya, bukan budaya rakyat di Sarawak jika melibatkan perbuatan menabur fitnah semata-mata untuk meraih sokongan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas proses penamaan calon bagi kerusi DUN Batu Kawah di Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini pada Isnin.
Ditanya mengenai keyakinan beliau untuk mempertahankan kerusi tersebut, Kui Hian berkata, perkara itu diserahkan kepada penilaian rakyat di Batu Kawah untuk membuat pilihan.
“Terima kasih kepada penyokong saya sebelum ini kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili mereka selama lima tahun.
“Kali ini, biar rakyat yang menentukan segalanya, apa yang telah dilakukan selama ini. Bagi saya ia seperti menduduki peperiksaan, apabila anda mengulang kaji saat akhir pada malam sebelum peperiksaan, ia pasti sukar,” jelasnya.
Kerusi DUN Batu Kawah bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan GPS, DAP yang diwakili Kelvin Yii Lee Wuen, Parti Bumi Kenyalang (PBK) mencalonkan Chai Kueh Khun dan Fong Pau Teck dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
Pada PRN11, Kui Hian memenangi kerusi Batu Kawah selepas meraih 6,414 undi menewaskan calon DAP, Christina Chiew Wang See (4,329 undi) dan calon Bebas, Liu Thiang Leong (1,109 undi).
#PRN Sarawak #presiden SUPP #sim kui hian #kempen politik
;