PRN Sarawak: Berbaki 17 pengundi belum hadir di IPD Kapit

Syafik Shukri Jalil
Disember 14, 2021 14:24 MYT
Kesemua mereka yang mengundi di IPD Kapit pada kali ini merupakan daftar pemilih bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram. - Astro AWANI
KAPIT: Hanya 17 daripada keseluruhan 96 pengundi berdaftar melibatkan anggota dan pegawai polis serta pasangan yang belum tiba di Pusat Mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit setakat jam 2.10 petang.
Ini selepas 79 anggota dan pegawai selesai menunaikan tanggungjawab mereka bermula jam 8 pagi termasuk empat pengundi dalam senarai sama melakukan undian secara pos sebelum ini.
Kesemua mereka yang mengundi di IPD Kapit pada kali ini merupakan daftar pemilih bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram.
Antara yang ditemui pada pagi tadi termasuk pegawai dan anggota yang tiba dari Miri, Sibu dan beberapa kawasan lain yang pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Untuk rekod, 23,043 pengundi akan mengundi awal membabitkan 69 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Ia membabitkan 10,458 anggota dan pegawai polis serta pasangan manakala bakinya membabitkan anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kerusi Dun Bukit Goram ketika ini disandang oleh Jefferson Jamit Unyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau akan dicabar dalam saingan lima penjuru melibatkan Puso Bujang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Robert Saweng dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Robert Segie dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Joseph Jinggut (DAP).
Selain itu, proses pengundian awal di IPD Song untuk kerusi Dun Katibas setakat jam 2 petang juga berjalan lancar selepas 80 peratus pengundi selesai menunaikan tanggungjawab mereka.
#PRN Sarawak #ipd kapit #pengundi awal #DUN Bukit Goram
;