PRN Sarawak: Beduk hampir berbunyi, saya serah kepada 'kitak' untuk menilai - Abang Jo
Syafik Shukri Jalil
Oktober 21, 2021 13:02 MYT
Oktober 21, 2021 13:02 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika jentera parti-parti politik membuat persediaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, pada Rabu juga bermula desas-desus negeri Sarawak akan turut membubarkan DUNnya bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-12.
Hari ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberikan bayangan bahawa tarikh keramat itu semakin hampir.
‘’Jadi beduk sudah hampir berbunyi, macam-macam cerita nanti akan keluar, tapi saya serahkan kepada anda semua untuk menilai, ini bukan untuk saya, tetapi untuk negeri kita.
‘’Keputusan ini terpulang kepada rakyat namun sekiranya kalian mahu melihat negeri kita tidak maju, terpulang kepada anda semua.
‘’Saya sudah berumur tidak lama lagi akan ke kubur (meninggal dunia). Ertinya pimpinan akan bertukar ganti dan yang penting adalah kita usahakan supaya negeri kita selamat dan terus membangun,’’ katanya.
Abang Johari berkata demikian semasa merasmikan pelancaran Sri Aman Development Agency (SADA) di Sri Aman pada Khamis.
Selain itu tambahnya rakyat negeri itu seharusnya bersyukur kerana Sarawak merupakan negeri yang kukuh dari sudut kewangan dan stabil.
‘’Alhamdullillah di antara negeri-negeri yang terkuat dari sudut kewangan dan juga kestabilan di Malaysia adalah Sarawak.
‘’Sebab itu ramai yang cemburu sebab kita tidak bergaduh dan kita sibuk menumpukan kepada aspek pembangunan dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat,’’ tambahnya lagi.
Terdahulu, Abang Johari dilaporkan akan membubarkan DUN Sarawak pada Jumaat (22 Oktober) ini.
Beliau dijangka membuat pengumuman tersebut di Kuching dalam satu sidang media khas esok.
Sementara itu, ketika sidang media majlis sama, Abang Jo tidak menyangkal dakwaan ada menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ujarnya, selain berbincang mengenai situasi terkini COVID-19 di Sarawak, perbincangan mereka turut melibatkan hal berkaitan perintah darurat.
‘’Saya ada bertanya mengenai perintah darurat, Baginda pula bertanya tentang COVID-19. Bukan kuasa saya, itu kuasa Agong, kalau dia kata pilihan raya, pilihan rayalah.
Apabila ditanya tentang spekulasi berhubung Pilihan Raya Negeri Sarawak, Abang Jo berkata beliau tidak dapat memperincikan perihal berkenaan kerana, "ia bukan bidang kuasa saya".
‘’Tunggu dua, tiga hari ... tunggulah saya pun tunggu juga,’’ tambahnya.
Terdahulu,media melaporkan Abang Jo bakal membubarkan DUN Sarawak pada Jumaat (22 Oktober) ini.
Pengumuman berhubung PRN Sarawak dikatakan akan berlaku sebelum lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke bandar raya ini untuk pelancaran program Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, pada Sabtu.