PRN Sarawak: Bantuan baja, racun serangga bantu ringan beban pengusaha lada hitam
Syafik Shukri Jalil
November 19, 2021 00:19 MYT
November 19, 2021 00:19 MYT
SONG: “Bantuan racun serangga dan baja banyak membantu menghasilkan lada hitam berkualiti”.
Demikian kata seorang pengusaha lada hitam di Song, Ukaw Mayaw, yang mula menjinakkan diri dalam sektor pertanian pada 2017.
Ujarnya, dia bermula dengan menanam 640 pokok dan kini sudah menghampiri 800 pokok dengan empat jenis lada hitam diusahakan termasuk lada Semonggok Aman, Semonggok Emas, Semonggok Perak dan lada India.
“Saya bermula dengan mengusahakan segalanya sendiri dengan bantuan daripada ahli keluarga.
“Kami bekerja sendiri termasuk menanam, membersihkan kawasan tanaman dan kini memetik hasil tanaman juga sendiri.
“Namun bersyukur kerana diberi bantuan baja dan racun serangga. Dengan bantuan ini semestinya perbelanjaan modal pada peringkat awal mampu dijimatkan,” katanya.
Selain itu, satu pokok lada hitam mampu membuahkan hasil sekurang-kurangnya tiga kilogram dan bagi pokok yang lebih besar mampu menghasilkan lada hitam hampir empat kilogram.
Biarpun harga pasaran mengalami turun naik, dengan adanya bantuan daripada Lembaga Lada Malaysia Malaysia (LLM) cawangan Sibu dan Sarikei, ia mampu membantu pengusaha memasarkan hasil tani.
“Hasil tanaman selalunya dijual terus kepada Lembaga Lada di beberapa cawangan termasuk di Sibu dan Sarikei.
“Melalui bantuan ini, ia sangat memudahkan urusan pengusaha seperti kami untuk memasarkan hasil tani seperti ini,” ujarnya lagi.
Harapannya agar kerajaan negeri akan terus membantu memperkasa usahawan tani dengan terus memperkenal dasar-dasar yang mampu memberi faedah kepada golongan terlibat.
Menerusi inisatif Kerajaan Negeri Sarawak, beberapa inisiatif diperkenalkan bagi memperkasakan pertanian bagi meningkatkan hasil keluaran dan pendapatan rakyat.
Ini termasuk mewujudkan kerjasama dengan syarikat peneraju (anchor company) bagi membantu petani kecil memasarkan hasil pertanian mereka.