PRN Sarawak: Bakal calon PSB DUN Pelawan mahu kesamarataan kaum
Amyra Varkisa
November 18, 2021 12:43 MYT
November 18, 2021 12:43 MYT
SIBU: Perjuangan demi kesamarataan kaum jadi pemangkin bagi Dr. Low Chong Nguang untuk berkecimpung dalam bidang politik.
Low yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi DUN Pelawan mengambil keputusan untuk menyertai dunia politik bagi mencapai misi tersebut.
Ujarnya, rakyat telah lama menunggu agar keadaan berkenaan diperbaiki namun ia masih tiada perubahan.
"Kita semua dilahirkan sebagai manusia yang tidak berat sebelah, tiada prejudis itulah yang mahu saya capai,"
"Semua orang mempunyai hak-hak mereka sendiri dan tidak harus diganggu oleh mana-mana pihak seperti mempraktikan agama dengan bebas, kita boleh mendapat peluang belajar yang sama, dapat menjalankan perniagaan dengan bebas, itulah yang saya hendak perjuangkan," katanya ketika ditemui Astro Awani.
Sebagai orang baharu dalam politik Low mengakui agak sukar baginya untuk menyampaikan pendapatnya ditambah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika ini.
Namun dia tetap berusaha sedaya upaya untuk berkomunikasi dengan orang awam melalui pelbagai platform yang ada.
"Memang saya orang yang baru dalam politik dan cara saya hendak menyampaikan pendapat saya kadang-kadang agak sukar kerana ini pengalaman pertama saya dalam politik.
"Jadi saya harus menggunakan medium digital ataupun media seperti surat khabar, televisyen,” jelasnya.
Mengulas mengenai salah seorang calon berpotensi untuk PSB, Abang Ridzuan Abang Awit yang menarik diri daripada bertanding di kerusi DUN Beting Maro, Low berkata pihaknya sedia maklum dana mereka agak terhad.
Tambahnya masalah tersebut bukan hanya dihadapi PSB malah juga oleh parti lain.
"Kita bukan parti yang berkuasa sekarang ini jadi sudah tentu dana kita juga akan terhad.
“Jadi kita terpaksa keluarkan dana peribadi untuk menjalankan kempen-kempen. Kekurangan dana ini bukan dialami parti kita sahaja. Saya yakin yang lain turut menghadapi masalah yang sama,” kata Low.