PRN Sarawak: Azmin akui berdepan cabaran, namun harap PKR menang besar

Harits Asyraf Hasnan
April 22, 2016 11:08 MYT
MOHAMED AZMIN: Isu dan demografi di Sarawak berbeza dengan Semenanjung. - Gambar fail
Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan untuk memenangi jumlah kerusi yang lebih banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 walaupun berdepan cabaran.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata PKR perlu mempertimbang isu-isu yang berlegar dalam lanskap politik dan demografi di Sarawak yang dilihat berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
"Sebagai sebuah parti politik, bila kita masuk pilihan raya, sudah tentulah kita hendak menang. Kalau kita bertanding di 40 kerusi, harapan kita (adalah) kita boleh menang sebanyak yang mungkin.
"Tetapi dalam suasana politik, kita juga akan mengambil pertimbangan dengan isu-isu semasa dan juga keadaan. Demografi di Sarawak ini yang berbeza dengan Semenanjung," katanya selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Calon PKR PRN Sarawak ke-11 di sini hari ini.
Katanya, dalam mendepani cabaran tersebut, semua anggota PKR di setiap peringkat perlu bekerja lebih keras apabila PRN Sarawak ke-10, penduduk di kawasan luar bandar mula menerima agenda yang dibawa PKR.
"Bagaimanapun, saya gembira dengan pimpinan dan anggota Keadilan di Sarawak ini. Mereka telah bekerja kuat bukan dalam tempoh singkat tetapi bertahun-tahun untuk membina parti, bukan sahaja di kawasan bandar tapi juga di luar bandar," katanya ketika diminta mengulas berkenaan sasaran Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang menyasarkan tiga hingga enam kerusi bakal dimenangi daripada 40 yang ditandingi.
Beliau pada masa sama menafikan dakwaan kononnnya berlaku perebutan kerusi dalam Pakatan Harapan setelah PKR masih berunding berkenaan peletakan calon di lima kawasan.
"Pokoknya, kita ada keupayaan untuk berbincang masalah dalam semangat kekeluargaan sama ada dengan DAP, Amanah dan PAS.
"Kita sentiasa berunding untuk mencari jalan penyelesaian masalah dan banyak usaha ini telah berjaya, sekali gus membuktikan bahawa muafakat itu kuat dan utuh," katanya.
#Azmin Ali #Pihanraya Sarawak #pilihan raya Sarawak #PKR #sarawak2016