PRN Sarawak: AMANAH kemukakan sembilan calon
Afiezul Samit
November 15, 2021 18:15 MYT
November 15, 2021 18:15 MYT
KUCHING: Parti Amanah Negara (AMANAH) masih mengekalkan sembilan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama Pakatan Harapan (PH) Januari lalu.
Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili berkata, sembilan kerusi yang akan ditandingi AMANAH ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop, dan Jemoreng yang akan menampilkan calon lama dan muka baru.
Katanya, walaupun terdapat rundingan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB), tetapi senario politik tidak dapat dijangka.
"Urusan PH bersama PSB kita belum tahu lagi. Tiada apa isu sekarang.
"Masa masih panjang, tarikh untuk Pilihan Raya Negeri pun kita belum tahu lagi. Kita tidak boleh jangka apa yang terjadi dalam politik sama ada bekerjasama ataupun tidak," katanya ketika dihubungi ASTRO AWANI.
Tambah Abang Halil, AMANAH berharap agar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya nanti tidak seperti PRN Melaka yang menyukarkan calon untuk berkempen terutama di luar bandar.
"Segala keputusan dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diterima memandangkan virus COVID-19 masih aktif diluar sana.
"Dalam Pilihan Raya, tiada istilah persediaan yang cukup. Tapi kami akan cuba yang terbaik. Fokus AMANAH sekarang adalah menyeimbangi ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam tempoh pandemik," tambahnya.
Ujar Abang Halil, sekiranya Undi18 boleh dilaksanakan, beliau optimis peluang akan lebih terbuka untuk AMANAH.
Bagaimanapun beliau akur akan keputusan Undi18 masih belum dapat dilaksanakan untuk PRN12 Sarawak.
Terdahulu, SPR dalam satu kenyataan mengumumkan mesyuarat khas membincangkan PRN12 Sarawak akan diadakan pada 24 November ini.
Mesyuarat khas ini akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh, akan membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 seperti hari penamaan calon dan hari mengundi.