PRN Sarawak: Ali Biju pertahan DUN Krian atas tiket Bebas

Rudi Affendi Khalik
Disember 6, 2021 04:44 MYT
Ali akan dicabar calon Parti Bumi Kenyalang, Danny Kuan Sam Sui, Friday Belik (GPS-PDP) dan Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu). - Astro AWANI
SARATOK: Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Manusia Datuk Ali Biju memilih untuk mempertahankan kerusi DUN N.39 Krian pada hari, sekali gus menggadaikan jawatan dan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Beliau bertanding sebagai calon Bebas bagi menghadapi saingan empat penjuru, seperti diumum Pegawai Pilihan Raya DUN N.39 Krian, Bilong Ingkas.
Pencalonan Ali yang menggunakan lambang kerusi dikemukakan oleh Elley Chandi dan disokong Antok Jaya.
Ali akan dicabar calon Parti Bumi Kenyalang, Danny Kuan Sam Sui, Friday Belik (GPS-PDP) dan Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu).
Pendirian Ali sudah dibayangi beberapa minggu lalu, dan ia semakin jelas apabila beliau menempelak Friday Belik pada Jumaat, yang mendakwa pihaknya dan Ali telah berkompromi.
BACA: PRN Sarawak: Calon GPS Krian berterima kasih, harap sokongan Ali Biju
Pada 2016, Ali mempertahankan kerusi tersebut dengan menewaskan calon BN-SPDP, Kilat Beriak dengan majority 1,640 undi.
Beliau membawa pulang 5,388 undi daripada 9,247 yang menunaikan tanggungjawab.
#PRN Sarawak #DUN Krian #ali biju #PPBM