PRN Sarawak: Alena Murang kecewa harga tiket mahal, sukar laksana kewajiban
Eton Khir
November 25, 2021 04:12 MYT
November 25, 2021 04:12 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pemain muzik sape terkemuka, Alena Murang, menyifatkan kenaikan harga tiket penerbangan Kuala Lumpur-Sarawak sehingga mencecah RM3,300 sebagai 'tidak masuk akal'.
Anak kelahiran Sarawak itu kecewa dengan keadaan berkenaan yang akan membebankan perantau untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bulan depan.
"Dengan pengumuman tarikh PRN pada 18 Disember, saya selaku anak Sarawak selalu mendorong orang ramai melaksanakan tanggungjawab kita untuk pergi mengundi.
"Namun, dengan situasi harga tiket penerbangan yang terlampau tinggi ini, ia akan menyukarkan anak Sarawak untuk pulang walaupun menyedari itu tanggungjawab sebagai anak Sarawak.
"Jujurnya, saya berasa amat kecewa dan sedih dengan situasi ini," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12.
Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Disember.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari sehingga jam 11.59 malam 17 Disember.
Sementara itu, Alena turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan syarikat penerbangan yang mengambil kesempatan menaikkan harga tiket ke Sarawak khususnya pada musim perayaan.
"Ini bukan sahaja masalah bagi saya, namun bagi kebanyakan anak Sarawak yang duduk di Kuala Lumpur atau Selangor... yang rata-rata berasa amat sukar untuk pulang ke Sarawak bagi menyambut perayaan Hari Natal atau Tahun Baru bersama keluarga," katanya lagi.