PRN Sarawak: Air mata Soon Koh rayu sokongan untuk PSB
Rudi Affendi Khalik
Disember 17, 2021 10:11 MYT
Disember 17, 2021 10:11 MYT
SIBU: Sendu dan air mata mengiringi rayuan terakhir Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Khamis, agar rakyat memberi peluang kepada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan berlangsung pada Sabtu ini.
Ironinya, rayuan itu bukan hadir daripada Datuk Seri Wong Soon Koh, presiden parti tersebut, sebaliknya daripada isterinya Datuk Seri Pauline Leong, 77, wanita besi pemalu yang sentiasa berada di belakang Soon Koh selama lebih 53 tahun.
Pauline yang berasal dari Pulau Pinang membawa naratif pilu apabila bercerita tentang keazaman dan kesungguhan Soon Koh yang seharusnya mengucapkan selamat tinggal kepada politik, selepas kematian mengejut anaknya Datuk Andrew Wong pada 10 Februari 2019.
Kata Pauline, Andrew, 42, seharusnya menjadi individu yang berada di kerusi Soon Koh ketika ini, namun Tuhan lebih menyayanginya.
Soon Koh, katanya, seharusnya bermurung selepas kematian pengasas Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu itu, namun ia tidak berlaku.
Sebaliknya, penyandang kerusi DUN Bawang Assan untuk enam penggal, sejak 1991 itu kembali bersemangat, dengan berasakan dirinya seperti Andrew yang masih kuat untuk berkhidmat kepada rakyat jelata.
Tiga kali sepanjang sidang media tersebut, Soon Koh mengusap matanya dengan tisu sambil tangannya mengelus helaian manifesto, menandakan fikirannya menerawang mengingati anak yang sering berbincang tentang politik dan isu rakyat dengannya setiap kali selepas makan malam.
Dengan semangat sedemikian, tidak hairanlah Soon Koh yang genap 79 tahun pada 16 Mei lalu gigih menyelesaikan misi sukar -- menukar kerajaan negeri pada kali ini.
Beliau yang pernah berada dalam kerajaan selama 27 tahun termasuk memegang empat kementerian berbeza tahu laluan berliku dan mustahil yang dilaluinya.
Berdasarkan risikan di lapangan, daripada 70 kerusi yang ditandingi, PSB mungkin berjaya mencipta kejutan kemenangan di beberapa kerusi, namun juga berkemungkinan kehilangan beberapa kerusi lain, yang sebelum ini dimilikinya.
Namun dedikasi Soon Koh ini sebenarnya membuka lembaran baharu untuk politik Sarawak.
Beliau berjaya membentuk sebuah parti politik yang dihormati dan akan menjadi pembangkang yang hebat, biarpun tidak bersekongkol dengan DAP - parti yang sentiasa mendendaminya sejak puluhan tahun lalu.
Puncanya, Soon Koh merupakan antara individu utama yang sentiasa mencipta onar buat DAP, termasuk menyebabkan penyingkiran Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut rentetan isu kerakyatan yang dipertikai.
Soon Koh pasti tidak menangis lagi selepas ini. Pauline juga begitu. Namun mereka pasti merindui bayangan anaknya, Andrew, yang seharusnya berdiri megah mengibarkan bendera matahari yang terbit dari negeri Sarawak itu.