PRN Sarawak: ADUN perlu ketahui, fahami kehendak rakyat - Juanda
Nickyson Nyambar
Disember 3, 2021 21:37 MYT
Disember 3, 2021 21:37 MYT
KUALA LUMPUR: Seseorang wakil rakyat perlu pandai meneliti serta menilai keperluan rakyat di kawasan yang diwakilinya.
Menyifatkan hubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan rakyat seperti bapa dan anak, penyandang DUN Jemoreng, Datuk Juanda Jaya, berkata wakil rakyat sepatutnya lebih arif menilai rakyat yang memerlukan bantuan.
"Sebagai contoh, cukuplah ahli politik bantu kroni-kroni yang dekat dengan politik, sedangkan di hadapan mata kita ada rumah yang buruk dan rumah yang buruk itu tidak pernah minta bantuan dari kita.
"Yang minta dari kita mungkin dari kroni kita, rumah dia sudah elok, cuma dia hendak menambah baik lagi. Jadi ini dilema mana-mana ahli politik," katanya ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Tegas beliau, seorang ahli politik yang telah diberikan amanah oleh rakyat harus bijak berfikir khasnya dalam membawa pembangunan dalam sesuatu kawasan.
"Dari sudut mengatur keperluan, keadaan mana diperlukan oleh rakyat. Saya bagi contoh senang, semua kampung akan minta dewan masyarakat untuk mereka berhimpun, tetapi di manakah kesesuaian dewan itu diletak?
"Sebab itu saya sebut, pembangunannya yang sepatutnya kita bawa kepada rakyat peringkat akar umbi, dia bukan hanya pembangunan fizikal, tetapi pembangunan dari sudut cara berfikir, cara menilai, cara melihat ketelusan keperluan rakyat yang berada di kawasan berkenaan.
"Kalau tidak kita hanya ada duit, kita buat projek, kita bantu sedangkan bantuan itu membawa impak berterusan kepada rakyat di kampung," tambah beliau lagi.
PRN Sarawak | Hubungan ADUN dan rakyat seperti keluarga
Dalam pada itu, mengulas mengenai penerimaan beliau sebagai calon untuk mempertahankan DUN Jemoreng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, katanya rata-rata rakyat masih mahu menerima khidmat beliau.
"Setakat yang saya berjalan dua hari lepas, kita telah berjalan hampir tiga suku dari kawasan DUN N44 Jemoreng, selama dua hari, saya menziarahi 25 buah kampung dan rumah panjang.
"Esok saya akan pergi lagi 14 tempat lagi. Setakat ini, rakyat yang saya didik selama lima tahun yang lalu mengharapkan lagi khidmat saya dan saya rasa ia satu beban yang besar yang akan dipikul," jelasnya.
Agenda AWANI: PRN Sarawak | Harmonikan perpaduan demi pembangunan rakyat