PRN Sarawak: Adenan Satem umum lima lagi calon langsung BN

Noor Aida Abdul Kassim
April 13, 2016 22:38 MYT
Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan lima lagi calon langsung bagi Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) ke-11 akan datang. - Gambar fail
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan lima lagi calon langsung bagi Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) ke-11 akan datang.
Adenan yang juga presiden BN negeri membuat pengumuman itu pada satu sidang media khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada petang Selasa.
Lima calon langsung itu ialah Datuk Sri Wong Soon (Bawang Assan), Datuk Tiong Thai King (Dudong), Datuk Hii Kong Chiong (Pujut), Ranum Mina (Opar) dan Datuk Dr Jerip Susi (Mambong).
Sebelum ini, Adenan telah mengumumkan Dr Johnical Rayong Ngipa sebagai calon bagi Engkilili.
Keenam-enam calon berkenaan adalah dari parti mesra BN iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP).
Pada sidang media sama, Adenan turut mengumumkan seorang lagi calon dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Pau Chiong Ung bagi kerusi Tanjung Batu.
Setakat ini , UPP yang juga parti serpihan dari SUPP telah diberikan enam kerusi manakala SUPP menerima agihan 12 kerusi.
BACA: PRN Sarawak: Lapan calon PBB, 3 calon BN diumum Adenan
BACA: PRN Sarawak: Adenan Satem umum Dr Johnical sebagai calon BN di DUN Engkilili
Nama calon bagi sebelas daripada kerusi berkenaan diumumkan Adenan, minggu lalu.
Setakat Rabu, Adenan telah mengumumkan senarai calon bagi 74 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi BN pada PRN kali ini.
Kini hanya berbaki lapan sahaja lagi kerusi yang belum diumumkan nama calon iaitu Ba'kelalan, Krian, Meradong, Pakan, Meluan, Pelawan, Katibas dan Tasik Biru.
#Adenan Satem #Barisan Nasional #BN #calon #pilihan raya negeri #PRN Sarawak
;