PRN Sarawak: Abdul Karim nafi ke DUN Satok, selesa di Asajaya

Azizah Alwi
November 19, 2021 16:23 MYT
Jelas Abdul Karim, Abang Johari ada sentuhan magis yang mampu menukar sesuatu kawasan menjadi pesat membangun. - Foto BERNAMA
KUCHING: Khabar angin yang tersebar luas yang menyebut Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah akan bertanding di kawasan DUN Satok adalah tidak benar.
Bagaimanapun tuan punya badan sendiri hari in menyangkal spekulasi berkenaan, sebaliknya mengakui lebih selesa bertanding di DUN N.15 Asajaya.
"Jika diberi peluang, saya masih mahu kekal di situ (Asajaya).
“Saya memulakan kerjaya politik saya sebagai wakil rakyat di Asajaya dan kalau dapat, saya nak habiskan karier sebagai ahli politik di tempat yang sama.
“Tak perlulah saya nak pindah," ujarnya yang sudah mewakili kawasan tersebut untuk lebih 20 tahun.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa menghadiri Program Flag Off Hidden Gems in Borneo Sarawak di loji percetakan Sin Chew Daily pada Jumaat.
Pada PRN Sarawak 2016, Abdul Karim memenangi kerusi tersebut dengan 6,163 undi, menewaskan pencabar tunggal dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abang Junaidi Abang Gom, yang sekadar meraih 2,805 undi.
Pada 2021, kawasan ini memiliki 12,419 pemilih berdaftar.
Berhubung khabar angin kemungkinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan bertanding di DUN Gedong, Abdul Karim menjelaskan di manapun Abang Johari bertanding kawasan itu akan membangun.
"Ini kerana Ketua Menteri mempunyai sentuhan ajaib.
" Ketua Menteri telah menunjukkan bahawa Satok (tempat beliau memulakan kerjaya politiknya) telah membangun begitu pesat,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim turut memberitahu, Majlis Tertinggi PBB akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan garis panduan pada pilihan raya yang akan datang.
“Ia mesyuarat yang agak penting dan kemungkinan untuk mengumumkan siapa yang akan menjadi calon.
"Sukar untuk saya jangka apa yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut,” tambahnya lagi.
Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dijangka mengadakan sidang media sejurus mesyuarat berakhir.
#PRN Sarawak #Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah #Tan Sri Abang Johari Tun Openg #Satok
;