PRN Sarawak: Abang Ridzuan tarik diri wakili PSB di DUN Beting Maro

Fadilah Sulaiman
November 17, 2021 14:37 MYT
Keputusan serta-merta itu disampaikan kepada Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh melalui surat bertarikh 9 November lalu.
KUCHING: Dr Abang Ahmad Ridzuan Abang Awit yang dikhabarkan menjadi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro menarik diri daripada bertanding di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Menurutnya, keputusan itu adalah sukar baginya setelah berkhidmat selama tiga tahun dengan PSB tetapi beliau tekad dengan keputusan muktamad mengundur diri daripada arena politik.
Tambah beliau, keputusan serta-merta itu disampaikan kepada Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh melalui surat bertarikh 9 November lalu.
"Saya tahu saya tidak dapat melaksanakan tugas seperti yang diharapkan. Saya telah didesak untuk mengemukakan aktiviti harian parti sedangkan tidak diberikan sebarang peruntukan dan tuntutan saya tidak pernah dilayan.
"Selama ini saya bertahan dengan sokongan keluarga dan telah berkorban terlalu banyak demi mempromosikan PSB. Saya tidak mempunyai wang dan saya tidak mampu menanggungnya lagi,” jelasnya menurut surat tersebut.
Beliau percaya PSB boleh mencari pengganti dengan mudah dan calon lebih baik dan boleh menang untuk berkhidmat di DUN Beting Maro.
Abang Ahmad yang berasal dari Kampung Pusa, Saribas merupakan seorang bekas pensyarah dengan latar belakang bidang Pendidikan Psikologi telah berkhidmat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, UNIMAS serta Universiti Putra Malaysia (UPM).
#PRN Sarawak #Calon PSB undur diri #Calon tiada dana #DUN Beting Maro