PRN Sarawak: Abang Johari selesai buang undi, lokasi mengundi 'meriah' dengan VIP

Hasimi Muhamad
Disember 18, 2021 10:47 MYT
Abang Johari dan isteri selepas selesai membuang undi di Pusat Mengundi Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS, Kuching, hari ini. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Pusat Mengundi Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS, di sini meriah dengan kehadiran individu ternama Sarawak, yang hadir bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Individu tersebut termasuk Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan isteri, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang.
Abang Johari selesai membuang undi sekitar pukul 10.05 pagi, sementara Juma'ani sekitar pukul 10.14 pagi, pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang berlangsung hari ini.
Terdahulu, pasangan tersebut, yang menaiki kenderaan jenis Alphard berwarna putih, tiba di pusat mengundi tersebut pada pukul 9.57 pagi.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu sempat beramah mesra dengan pengundi sebelum memasuki pusat mengundi.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak) Datuk Hanifah Taib juga dilihat selesai mengundi sekitar pukul 8.35 pagi.
Turut hadir, Pemangku Yang di-Pertua Negeri Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor.
Selain Abang Johari, turut dijadual membuang undi di lokasi sama ialah Tun Abdul Taib Mahmud.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh itu, yang juga bekas Ketua Menteri, dijadual tiba sekitar pukul 10.30 pagi.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadilah Yusuf dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok Datuk Ibrahim Baki (GPS) tiba untuk meninjau proses pengundian di lokasi tersebut.
Pada PRN kali ini, DUN Satok menyaksikan seramai 14,314 pengundi yang akan memilih wakil rakyat mereka.
DUN Satok, yang sebelum ini disandang Abang Johari, kini diwakili Ibrahim.
Selain Ibrahim yang mempertahankan kedudukannya, dua lagi calon yang akan merebut kerusi tersebut ialah Awang Badele Awang Ali (PBK) dan Dr Nor Irwan Ahmad Nor (PKR).
#PRN Sarawak #Abang Johari Openg #DUN Satok
;