PRN Sarawak: 185 laporan diterima Polis Sarawak atas pelbagai kesalahan

Shafik Ahmad
Disember 17, 2021 09:21 MYT
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan pihaknya telah mengeluarkan 11 kompaun dengan nilai terkumpul setakat ini sebanyak RM36,000.
KUCHING: Polis Sarawak menerima 185 laporan setakat 16 Disember lalu berhubung perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 71 kertas siasatan telah dibuka.
“Paling banyak ialah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat (23), Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu (12),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan pihaknya telah mengeluarkan 11 kompaun dengan nilai terkumpul setakat ini sebanyak RM36,000.
“Kompaun itu dikeluarkan sepanjang tempoh berkempen sehingga semalam dengan nilai terkumpul RM36,000,” katanya.
Mengulas lanjut, kompaun itu dikeluarkan terhadap Parti Keadilan Rakyat (4), Gabungan Parti Sarawak (3) Parti Demokratik Progresif dan Bebas masing-masing satu kompaun, manakala dua lagi kompaun dikeluarkan tidak melibatkan parti politik.
#PRN Sarawak #laporan polis #Datuk Aidi Ismail #kesalahan khianat