PRN Sarawak: 17,885 kertas undi pos dikeluarkan

Hasimi Muhamad
Disember 11, 2021 09:53 MYT
Menurut SPR, proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.
KUCHING: Sebanyak 17,885 kertas undi pos dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada yang berhak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Menurut Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, pengeluaran kertas undi pos pada 8 hingga 10 Dis itu dijalankan Petugas Pilihan Raya di semua 82 kawasan DUN.
“Kesemua 17,885 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 16,728 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media).
“Selain itu, sebanyak 365 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 679 kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan), manakala 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, proses pengeluaran kertas undi pos tersebut dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.
Dalam masa yang sama, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum pukul 5 petang pada Hari Mengundi 18 Dis ini.
Pengundi juga, kata Ikmalrudin, diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
PRN12 Sarawak melibatkan 1,252,014 pengundi.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #kertas undi pos #PRN Sarawak #pengundi pos
;