PRN: Sanusi sahkan DUN Kedah dibubar minggu keempat Jun

Abd Hadi Che Awang
Mei 17, 2023 18:48 MYT
Sanusi ditemui ketika sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan pada minggu keempat bulan hadapan.
Menurut beliau, tindakan lanjut selepas pembubaran berkenaan adalah di bawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian.
"(Selepas ini) kita akan hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), sempena PRU-15, enam negeri akan adakan PRN, (sebelum ini juga) saya telah maklumkan lebih awal dalam sidang DUN (berhubung pembubaran DUN).
"(Jadi) kita akan bubarkan DUN ini penghujung bulan Jun (ataupun secara spesifik) pada minggu keempat, (tindakan) kemudiannya terpulanglah kepada SPR untuk tentukan tarikh pilihan raya (dan sebagainya)," katanya.
Sanusi berkata demikian ketika sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.
Dalam perkembangan berasingan, beliau menyatakan bahawa berpuas hati dengan prestasi kerajaan pimpinannya yang genap tiga tahun mengambil alih pentadbiran negeri Jelapang Padi itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga menyifatkan pengalaman yang dilalui dalam tempoh berkenaan sebagai Menteri Besar Kedah amat mencabar.
Ini kerana jelasnya, kesemua bekas Menteri Besar negeri itu disifatkan beliau sebagai individu yang sangat hebat.
Sanusi juga secara berseloroh menzahirkan rasa lega selepas tidak menjadi Menteri Besar yang paling singkat mentadbir negeri itu.
Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) memiliki komposisi kerusi tertinggi di DUN Kedah dengan 21 kerusi dimana Pas mempunyai 15 kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi.
PH pula memiliki 10 kerusi DUN, Barisan Nasional (dua kerusi) dan Parti Pejuang Tanah Air (dua kerusi).
#DUN Kedah #pembubaran #Muhammad Sanusi Md Nor #PRN
;