PRN Sabah: Warisan janji tapi tak tunai - Bung Moktar
Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 16, 2020 17:16 MYT
September 16, 2020 17:16 MYT
Barisan Nasional (BN) telah berwajah baharu dengan penstrukturan semula kepimpinan dan ketrampilan serta organisasi parti itu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau berkata, dalam normal politik baharu, rakyat perlu diberi tawaran-tawaran yang mampu membela nasib mereka.
"Kita mengubah segala bentuk struktur termasuk kepimpinan, ketrampilan dan organisasi... kenapa berubah?
"Sebab kita ingin meyakinkan rakyat dan menambat hati rakyat. Jika parti tidak berubah, rakyat akan ubah," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kota Kinabalu pada Rabu.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Bung menekankan tentang janji yang termaktub dalam sembilan teras manifesto GRS.
"Manifesto ini merangkumi berbagai-bagai tawaran baharu kepada rakyat negeri Sabah termasuk kebajikan, memperluaskan infrastruktur, memastikan bahawa setiap daerah sudah ada bekalan elektrik, air bersih dan jalan-jalan kampung.
"Projek Pan Borneo diteruskan tanpa ada halangan, bukan macam sekarang ditahan-tahan.
"Bantuan kebajikan kepada orang-orang tua, ibu-ibu tunggal, orang kurang upaya, yang tidak berkemampuan... itu pun kita ubah, tidak lagi bantuan RM200 atau RM300 sebab tidak relevan lagi dalam kehidupan pada hari ini," katanya.
Jelasnya, manifesto yang menerapkan sembilan teras itu adalah sebuah aku janji yang akan ditunaikan 100 peratus.
"Ekonomi Sabah hari ini hanya 0.54 peratus daripada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah... tinggal 0.54 peratus.
"Ini bererti kalau masih lagi Warisan memerintah, mungkin tinggal kosong peratus ekonomi kita.
"Sebelum ini Warisan tabur janji macam-macan tapi tidak satu pun ditunaikan," dakwanya.
#Aku Janji
#Bung Moktar
#janji
#manifesto sabah
#Muhyiddin Yassin
#pembangunan
#Sabah
#Sabah Memilih