PRN Sabah: Undi awal, tiga waktu ditetapkan SPR

Assim Hassan
September 21, 2020 13:14 MYT
Abdul Ghani berkata, terdapat tiga waktu ditetapkan SPR bagi hari mengundi awal Pilihan Raya Negeri Sabah dengan 55 pusat mengundi awal dibuka melibatkan 73 saluran. - Gambar fail
Persediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang hari mengundi awal, esok berada pada tahap optimum dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) keselamatan ditetapkan.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, terdapat tiga waktu ditetapkan suruhanjaya itu bagi hari mengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan 55 pusat mengundi awal dibuka melibatkan 73 saluran.
“Masa yang ditetapkan SPR ialah 8 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan lapan pusat mengundi; 8 pagi hingga 2 petang (lima pusat mengundi) sementara bakinya pula 8 pagi hingga 5 petang.
“Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh para petugas SPR,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
SPR dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, seramai 16,877 pengundi akan mengundi awal bagi PRN Sabah Ke-16.
Selain itu, Abdul Ghani memberitahu, beliau akan mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Kem Lok Kawi pada hari mengundi awal esok.
#Abdul Ghani Salleh #Pengerusi SPR #PRN Sabah #pusat mengundi #Sabah Memilih #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;