PRN Sabah: UMNO akan kerjasama dengan PH, kaedah terbaik kekalkan Kerajaan Perpaduan

Bernama
September 12, 2024 13:17 MYT
Ahmad Zahid berkata UMNO Pusat dan Sabah juga bersetuju supaya BN Sabah mengikuti formula kerjasama yang diamalkan di peringkat Persekutuan. - Foto Bernama
SHANGHAI: UMNO memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata langkah itu dilihat kaedah terbaik untuk mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, dan keputusan itu dimuktamadkan secara bersama oleh UMNO Pusat dan Sabah.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata UMNO Pusat dan Sabah juga bersetuju supaya BN Sabah mengikuti formula kerjasama yang diamalkan di peringkat Persekutuan dan ia perlu diperluaskan ke negeri berkenaan.
"Parti lain juga terbuka untuk menjalin kerjasama dengan kami dan kita harap tidak ada parti di Sabah yang menyebutkan bahawa ini adalah 'parti dari Malaya' atau parti peringkat kebangsaan tidak perlu masuk ke Sabah.
"Kita sebuah negara demokrasi dan tiada parti tempatan atau parti Semenanjung, maka seharusnya tidak ada kenyataan yang dikeluarkan untuk menyinggung perasaan, walaupun ada parti yang berhajat semula untuk menjadi Ketua Menteri Sabah," katanya kepada media Malaysia pada hari terakhir lawatan kerja beliau ke China di sini hari ini.
Semalam, BN dan UMNO Sabah dilapor akan mengadakan perbincangan bagi memperhalusi kerjasama parti itu bersama PH di peringkat negeri dalam menghadapi PRN Sabah.
Ditanya mengenai kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan), Ahmad Zahid menjelaskan bahawa parti tersebut merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan tidak seharusnya timbul isu mengenai kerjasama dengan parti berkenaan.
"Warisan memang sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, tetapi di Sabah mereka jadi pembangkang, dan kita harap tidak ada parti yang mengeluarkan kenyataan menolak parti dari Semenanjung," katanya.
Sebelum ini, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa rakyat Sabah untuk menyokong parti tempatan berbilang kaum pada PRN akan datang.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Ahmad Zahid berkata UMNO akan menilai perkara tersebut berdasarkan keputusan PRN Sabah nanti.
"Kita selesaikan hal di Sabah terlebih dahulu dan jika template ini berjaya, tentunya kita akan mengkaji untuk pelaksanaan di peringkat PRU16.
"Keserasian antara BN dan PH terbukti amat baik, termasuk dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk Ahli Parlimen Bebas," katanya.
-- BERNAMA
#PRN Sabah #Zahid Hamidi #UMNO #Kerajaan Perpaduan #Pakatan Harapan
;