PRN Sabah: Tunggu lama untuk mengundi, tak jadi masalah - Belia
Hasimi Muhamad
September 26, 2020 15:01 MYT
September 26, 2020 15:01 MYT
Terpaksa menunggu dan beratur panjang di Pusat Mengundi di Sekolah Jenis Cina (SJC) Chung Hwa Air Keroh, di sini bukan penghalang untuk para pengundi menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.
Menurut Erwan Dollah, 27 tahun, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah pilihan raya kedua buatnya selepas kali terakhir menjalankan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Walaupun terpaksa diadakan dalam norma baharu, Erwan mengakui PRN kali ini lebih sistematik berbanding sebelum ini.
“Lebih teratur sebab banyak kerusi, ada tempat duduk dan lagi selesa.
“PRN ini juga rakyat Sabah jaga jarak masing-masing. Rasa lebih selesa dan selamat,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
.
Ditanya mengenai tempoh masa menunggu, Erwan yang bekerja sendiri berkata, apa yang penting baginya adalah tanggungjawab sebagai pengundi. BACA SEMUA MENGENAI PRN SABAH DI SINI
“Demi untuk rakyat Sabah, rasanya bagi saya, saya tidak kisah sebab tempat mengundi pun selesa.
“Tiada halangan apa-apa untuk mengundi,” tambahnya.
Sementara itu, suri rumah, Siti Farijah Mohd Noor, 25 tahun, berkata dia terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk memasuki Pusat Mengundi kerana kesukaran tempat meletak kenderaan.
Bagaimanapun, dia yang pertama kali mengundi tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk tidak mengundi.
“(Ditambah pula) Saya rasa kurang selesa sebab kena ikut prosedur operasi standard (SOP).
“Suami saya semalam kata, tak payah datang (kalau rasa tak selesa dengan SOP). Tetapi saya datang juga sebab ini sudah menjadi kewajipan sebagai rakyat Malaysia, wajib mengundi,” ujarnya.
Sebanyak 18 saluran dibuka di Sekolah Jenis Cina (SJC) Chung Hwa Air Keroh, di sini.
Ia salah satu Pusat Mengundi yang berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Api-Api.
Seramai 19,149 pengundi berdaftar akan menjalankan tanggungjawab di DUN tersebut.
DUN N.20 Api-Api menyaksikan saingan sembilan penjuru termasuk melibatkan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.
#Berita PRN Sabah
#Bung Moktar Radin
#Christina Liew
#COVID-19
#Hajiji Mohd Nor
#Mohd Shafie Apdal
#PRN Sabah
#PRN Sabah 2020
#Sabah Memilih