PRN Sabah: Teka-teki siapa Ketua Menteri Sabah baharu akan diketahui Ahad

Assim Hassan, Hasimi Muhamad
September 26, 2020 02:16 MYT
Jelas Hajiji, pengumuman akan dibuat sebelum memasuki istana. - Gambar fail
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memaklumkan akan mengumumkan calon Ketua Menteri Sabah yang baharu, pada Ahad.
Perkara itu dimaklukan oleh Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor, sebentar tadi.
Jelasnya, pengumuman akan dibuat sebelum memasuki istana.
“Kita akan maklum esok (Ahad) sebelum naik istana.
“Cukup untuk angkat sumpah. Tapi sebab dalam keadaan sudah malam... kita akan umum esok hari,” demikian katanya dalam sidang media, awal pagi ini.
Turut hadir adalah Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ditanya kenapa pengumuman tidak dibuat bersama Umno, Hajiji berkata, gabungan tersebut masih menunggu wakil rakyat yang belum tiba dari lokasi-lokasi berbeza.
“Kerana kita masih menunggu, masih ramai wakil rakyat dari jauh, dari pedalaman belum lagi sampai.
“Kita akan tunggu dan buat pengumuman bersama,” jelasnya lagi.
Beliau dalam pada itu enggan mengulas sama ada Ketua Menteri Sabah yang baharu itu daripada PN atau sebaliknya.
Terdahulu, GRS memperoleh majoriti mudah dengan menang 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada Sabtu.
#Bersatu #Bung Moktar Radin #Mohd Shafie Apdal #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #PRN Sabah #PRN Sabah 2020
;