PRN Sabah: Sudah ada 'blueprint' - Calon PN sedia majukan DUN Bandau, Kota Marudu
Assim Hassan
September 18, 2020 11:39 MYT
September 18, 2020 11:39 MYT
Pelan Pembangunan kawasan Bandau dan Kota Marudu telah disediakan Perikatan Nasional dalam usaha memajukan kawasan itu.
Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda berkata pelan pembangunan (blueprint) itu merangkumi projek menaik taraf kemudahan asas serta menjana peluang ekonomi buat penduduk di kawasan itu dan sekitarnya.
"Kawasan Bandau ini walaupun dekat dengan pekan Kota Marudu tetapi kita klasifikasikan sebagai kawasan luar bandar. Banyak lagi kemudahan asas yang perlu dipertingkat di sini.
"Untuk itu, saya secara peribadi sudah ada hala tuju. Sudah ada blueprint untuk memajukan kawasan ini dan Kota Marudu.
"Kita mahu angkat ekonomi penduduk di sini," kata Wetrom kepada Astro AWANI.
DUN Bandau merupakan DUN baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dengan menyaksikan pertembungan enam penjuru.
Selain itu, Wetrom berkata beliau menggalas tanggungjawab besar sebagai calon di kawasan DUN baharu iaitu Bandau.
Bagaimanapun, katanya, beliau bertuah kerana mempunyai pemimpin atasan yang bertanggungjawab kepada rakyat seperti perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"YAB Perdana Menteri telah membuat yang terbaik untuk rakyat ketika kita berdepan dengan COVID-19. Ia satu rahmat buat saya sebagai calon yang mewakili PN di sini.
"Ini kerana kerja adalah mempergiatkan usaha turun padang bertemu pengundi dan memperkenalkan mereka apa hala tuju saya untuk DUN Bandau," katanya.