PRN Sabah: Situasi lengang sekitar Bangunan UMNO Sabah
Hasimi Muhamad
September 27, 2020 10:57 MYT
September 27, 2020 10:57 MYT
Pemerintahan kerajaan baharu di Sabah yang diharapkan oleh rakyat Negeri di Bawah Bayu selepas mandat diberikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam masih samar setakat ini.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa ‘markas’ utama pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendapati, tiada sebarang pergerakan keluar dan masuk dalam kalangan mereka.
Bangunan UMNO Sabah di sini, yang menjadi tempat pertemuan pemimpin parti Melayu itu dan penyokong-penyokong sebelum pengumuman keputusan PRN malam tadi, dilihat lengang.
Setakat pukul 10 pagi ini, tiada sebarang pergerakan keluar dan masuk kenderaan di sekitar bangunan tersebut.
Selain itu, lokasi kedua di sebuah hotel yang terletak kira-kira 600 meter daripada Bangunan UMNO itu juga kelihatan sunyi sepi.
Keadaan ini menimbulkan tanda tanya berhubung keputusan untuk menamakan calon Ketua Menteri Sabah yang baharu, sama ada sudah selesai atau masih dalam rundingan.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Ketua Menteri yang baharu akan diumumkan hari ini.
Hajiji, yang mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon Ketua Menteri selain Pengerusi BN Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.
Persoalannya sekarang, sampai bilakah rakyat Sabah perlu menunggu?
#Barisan Nasional
#calon
#Hajiji Noor
#hotel
#kerajaan
#Ketua Menteri
#Kota Kinabalu
#lengang
#PRN Sabah
#rakyat
#Sabah
#Sabah Memilih
#sunyi
#UMNO