PRN Sabah: Shafie Apdal berdepan empat calon lain di DUN Senallang

Ridzal Abdullah, Petrus Bernard
September 12, 2020 13:16 MYT
Shafie berkata pertembungan lima penjuru di DUN Senallang pada kali ini adalah bukti kebebasan bersuara yang subur di negeri itu. - Foto Astro AWANI
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdepan empat calon lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.65 Senallang pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16.
Selepas selesai proses penamaan calon, Shafie disahkan akan bertanding menentang Norazman Utoh Naim (Bersatu/PN), Mad Jalie Lais (PCS), Mohammad Ramzan Abdu Wahab (USNO) dan Datu PG. Ahmad Datu Ali Alam (PPRS).
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu Shafie menewaskan lawannya, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran Dandai dari Barisan Nasional (BN) dengan undi majoriti 5,301 undi.
Shafie berkata pertembungan lima penjuru di DUN Senallang pada kali ini adalah bukti kebebasan bersuara yang subur di negeri itu.
"Kita biasa dalam gelanggang politik, ini merupakan satu kebebasan tiada sekatan kepada mana-mana pihak untuk tawarkan diri untuk bertanding," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
BACA: Penamaan calon-calon PRN Sabah 2020 di sini!
LAPOR LANGSUNG: Proses penamaan calon PRN Sabah
BACA: 'Tiada sengketa antara saya dan Shafie Apdal' - Calon Bersatu
Beliau dalam pada itu berharap agar semua pihak memberi sokongan sebaik mungkin kepada kepada beliau bagi meneruskan perancangan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan Warisan.
"Masa dua tahun itu amat singkat untuk tunaikan beberapa agenda namun ada sebahagian telah kita tunaikan tetapi kita mampu tunaikan, sebagai contoh pemberian geran tanah dan tuntutan hak MA63," kata beliau lagi.
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata setakat ini apa yang penting adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sepanjang PRN Sabah berlangsung.
"Apa yang penting saya harap proses pilhan raya berjalan dengan lancar, jangan abaikan pematuhan SOP dan walaupun ada sedikit peningkatan jangkitan COVID-19, namun ia terkawal," kata Shafie lagi.
#Barisan Nasional #koronavirus #Mohd Shafie Apdal #operasi #Parlimen #pilihan raya umum #politik #PRN Sabah #PRU #Sabah Memilih #Semporna #Shafie Apdal
;