PRN Sabah: Sepak, tukar sahaja jika tidak laksana tanggungjawab - Bung Moktar
Assim Hassan
September 22, 2020 07:05 MYT
September 22, 2020 07:05 MYT
"Sepak atau tukar sahaja kita (Barisan Nasional) jika kita tidak melaksanakan tanggungjawab selepas diberi mandat (Pilihan Raya Negeri) ini,".
Demikian kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyifatkan semua pemimpin BN perlu melaksanakan amanah diberikan kepada mereka dengan memberi yang terbaik untuk rakyat.
Kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi, seorang pemimpin bukan untuk ditakuti sebaliknya disegani dan dihormati rakyat.
"Apabila saya dipilih menjadi pemimpin saya kata, saya sanggup jadi pemimpin sebab saya mahu membuat perubahan secara besar-besaran (buat Sabah).
"Saya tidak mahu protokol yang keterlaluan kepada pemimpin sebab pemimpin bukan untuk ditakuti sebaliknya disegani dan dihormati. Jika seorang pemimpin itu ditakuti ia tidak akan memberi apa-apa impak kepada rakyat serta ekonomi," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Selain itu, Bung Moktar memberi jaminan, BN mempunyai perancangan jelas untuk mengangkat Sabah ke satu tahap yang lebih baik menerusi beberapa projek-projek mega berimpak tinggi.
Sebagai contoh, katanya adalah keretapi laju dan sistem pengangkutan barangandi seluruh Sabah yang sudah pasti memberi peluang pekerjaan buat anak tempatan negeri ini.
"Menerusi sistem keretapi laju ia sudah pasti dapat mengurangkan kos pengangkutan di Sabah... semua ini sudah dalam rancangan kita termasuk meneliti konsultan.
"Bagaimanapun, infrastruktur serta prasarana asas seperti jajaran jalan raya, air bersih dan letrik akan diteruskan," ujarnya.
#Barisan Nasional
#bekalan air besih
#Bung Moktar Radin
#DUN Lamag
#Kinabatangan
#pembangunan Sabah
#Pilihan Raya Negeri Sabah
#prasarana
#PRN Sabah
#projek mega Sabah
#Sabah Memilih