PRN Sabah: Semua pihak perlu terima keputusan Mahkamah Rayuan - Shafie Apdal
Ruzaini Zulkepli
September 8, 2020 19:45 MYT
September 8, 2020 19:45 MYT
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta semua pihak menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pembubaran DUN Sabah.
Ketua Menteri Sabah itu berkata, seiring keputusan mahkamah hari ini, rakyat kini berhak untuk menentukan pihak yang dipilih untuk membentuk kerajaan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
"Saya berharap semua pihak dapat menerimanya sebaik mungkin dan kita akan menjalankan tanggungjawab.
"Kita selaku rakyat untuk memutuskan siapa yang boleh berkuasa akan jadi pemerintah di peringkat negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.
Mahkamah Rayuan hari ini, menolak rayuan 33 ahli DUN (ADUN) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada 30 Julai.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara membuat keputusan itu dan menegaskan Mahkamah Rayuan tidak mencampuri keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan mengekalkan keputusan sebelumnya.
Sementara itu, ulas Mohd Shafie lagi, keputusan berkenaan juga sekali gus mempertahankan hak Perlembagaan Sabah dan kuasa Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
"Saya amat gembira melihat keadaan ini... keputusan itu berdasarkan bagaimana pandangan hakim yang telah mendengar kes ini berlandaskan Perlembagaan dan perundangan di negara kita," katanya.
Untuk rekod, PRN Sabah akan bermula dengan penamaan calon pada 12 September dan hari pengundian pada 26 September.
#ADUN
#DUN
#kerajaan
#Ketua Menteri
#Kota Kinabalu
#mahkamah
#Mahkamah Rayuan
#Musa Aman
#pilihan raya
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#Shafie Apdal