PRN Sabah: Semangat berpasukan gabungan PN petanda baik tadbir Sabah
Assim Hassan
September 9, 2020 22:12 MYT
September 9, 2020 22:12 MYT
Semangat berpasukan yang ditunjukkan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah petanda baik dalam usaha mentadbir kerajaan negeri Sabah.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, semangat itu perlu disusuli dengan rasa tanggungjawab kebersamaan, keikhlasan dan kesaksamaan bagi memastikan rakyat Sabah terus terbela.
"Kita ubah negeri ini... kita ubah kerajaan negeri ini menjadi kerajaan negeri kita pada 26 September ini. Saya yakin pasukan kita adalah pasukan yang kuat.
"Negeri ini merupakan negeri bermaruah. Kita telah membuktikan apa sekali rintangan yang ada PN akan mempertahankan negara dan negeri ini," katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan PN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada malam Rabu.
Majlis Himpunan itu merupakan himpunan pertama PN dan melakar sejarah kerana diadakan di Sabah.
Hadir sama Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.
Sementara itu, mengulas mengenai ketiadaan wakil mahupun pemimpin UMNO pada majlis itu, Hamzah berkata, mereka tiada dalam PN sebaliknya menyokong PN.
"Perkara itu tidak penting. Apa yang penting mereka (UMNO) bersama-sama kita dalam PN dan bersama-sama mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16. Itu yang paling utama.
"Kita akan mengumumkan calon-calon Barisan Nasional dan PN esok bersama-sama," katanya.
#Barisan Nasional
#Bersatu
#Gabungan PN
#Hamzah Zainuddin
#PAS
#pilihan raya
#PN
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#Takiyuddin Hassan
#UMNO