PRN Sabah: Rubin Balang nyata sokongan kepada PN
Assim Hassan
September 26, 2020 02:35 MYT
September 26, 2020 02:35 MYT
Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang menyatakan hasrat dan pendirian menyokong Perikatan Nasional (PN).
Malah, Rubin berkata, beliau juga akan menyokong sesiapa sahaja yang dicadangkan oleh PN untuk menjadi ketua menteri.
“Saya datang sini sebab saya menyokong PN dan juga menyokong sesiapa sahaja yang dicadangkan untuk menjadi ketua menteri,” katanya kepada pemberita di sini.
Rubin juga menjadi perhatian pengamal media apabila hadir ke sidang media Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor di sebuah hotel terkemuka di sini.
Rubin yang bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 menang dengan majoriti 1,012 menewaskan calon UPKO, Barisan Nasional (BN), Parti Cinta Sabah, Parti Liberal Demokratik dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah.
Ditanya mengenai kemenangan beliau di DUN itu, Rubin menjelaskan ia hasil sokongan rakyat Kemabong.
“Saya mempunyai visi dan misi untuk membangunkan Kemabong terutama dari segi prasarana serta pembangunan ekonomi,” katanya lagi.
#calon Bebas
#Gabungan Rakyat Sabah
#GRS
#Hajiji Mohd Noor
#Kemabong
#Ketua Menteri
#Perikatan Nasional
#pilihan raya negeri
#PRN Sabah
#Rubin Balang
#Sabah
#Sabah Memilih
#Warisan