PRN Sabah: Rakyat Sabah diminta buat pilihan bijak - Muhyiddin

Bernama
September 11, 2020 23:57 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap sempena program ramah mesra penduduk PPR Taman Sri Keramat Putatan di sini hari ini. - BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat negeri ini membuat pilihan bijak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 Sept ini demi pembangunan negeri ini dan faedah mereka.
Beliau berkata dengan membuat pilihan yang bijak akan membolehkan kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk pembangunan Sabah.
"Lagi rapat, lagi bagus lebih banyak peruntukan yang boleh kita sediakan (bagi Sabah)," katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Penduduk PPR Taman Sri Keramat, Putatan, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Muhyiddin berkata rakyat Sabah pastinya mahu perubahan dalam kehidupan yang lebih baik dengan pelbagai kemudahan dan kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) sentiasa prihatin dengan kehidupan rakyat.
Perdana Menteri berkata meskipun kini kerajaan berdepan dengan pandemik COVID-19, namun atas sokongan semua rakyat, Malaysia merupakan antara negara terbaik mengurus penularan wabak itu.
"Dalam keadaan kita jaga SOP (prosedur operasi standard), kita juga mahu keadaan ekonomi negara juga mesti pulih dengan cepat," katanya.
Muhyiddin berkata dalam keadaan sukar ini, semua perlu bersatu hati dan saling membantu di semua peringkat.
Katanya, rakyat dan pimpinan negara bekerja bersama-sama supaya negara dapat dibangunkan walaupun dalam keadaan susah mana sekalipun.
"Untuk negeri Sabah, yang saya sebutkan sebagai sebuah negeri yang kaya raya, banyak khazanah, orang-orang bijaksana boleh bekerja bersungguh-sungguh supaya dapat dibangunkan Sabah sebagai sebuah wilayah pertumbuhan yang penting dalam negara," katanya.
Terdahulu hujan lebat sejak jam 3 petang tidak menghalang penduduk projek perumahan itu untuk bersua muka dengan Perdana Menteri.
Ketibaan Muhyiddin, diiringi Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor, disambut dengan sorakan serta paluan kompang dan persembahan silat oleh penduduk PPR Taman Sri Keramat.
-- BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #Pilihan Raya Negeri Sabah #PRN Sabah #Sabah #Sabah Memilih
;