PRN Sabah: PN umum bertanding 29 kerusi, akan bincang dengan BN elak pertembungan

Assim Hassan, Ruzaini Zulkepli
September 10, 2020 12:41 MYT
Hajiji yakin keputusan sepakat dapat dicapai antara kedua-dua gabungan. -Gambar fail
Perikatan Nasional (PN) Sabah terdiri daripada Bersatu, SAPP dan Star mengumumkan akan bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Ia bagaimanapun menyebabkan berlaku tiga pertembungan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) iaitu di DUN Tulid yang ditandingi (PBRS), Sook (PBRS) dan Paginatan (UMNO).
Berikutan itu, kurang 48 jam sebelum hari penamaan calon, barisan kepimpinan PN akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan BN dalam usaha memastikan tiada pertindihan calon.
Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yakin, keputusan sepakat dapat dicapai antara kedua-dua gabungan.
"Melihat kepada tiga pertindihan ini kami akan mengadakan perbincangan dengan BN dengan segera untuk menyelesaikan perkara ini.
"Kita tidak mahu pertindihan... apa yang kita mahu adalah calon PN atau BN lawan satu dengan Warisan Plus sekali gus menang PRN Sabah," katanya pada Majlis Pengumuman Calon PN Sabah di Ibu Pejabat Bersatu Sabah pada Khamis.
Hadir sama, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Tong Teck Lee.
Pada pengumuman itu, PN Sabah yang dibarisi Bersatu, Star dan SAPP akan berentap di 29 kerusi DUN pada PRN kali ini.
Selain itu, Hajiji menjelaskan PN Sabah turut menampilkan hampir 60 peratus muka baharu pada PRN kali ini.
Ditanya sama ada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akan dicalonkan bagi kerusi PN, Hajiji berkata ia tidak mungkin berlaku memandangkan pihaknya sudah memuktamadkan senarai calon perikatan tersebut.
Ditanya juga sama ada pihaknya ada berbincang dengan BN tentang calon Ketua Menteri Sabah, Hajiji menjelaskan perkara itu tidak timbul dan apa yang penting adalah kemenangan mereka pada PRN ini.
#Barisan Nasional #Ketua Menteri #Musa Aman #pilihan raya #presiden #PRN Sabah #Sabah Memilih #UMNO