PRN Sabah: PGA aktifkan PORU

Bernama
September 10, 2020 23:30 MYT
Anggota dalam unit itu adalah terlatih untuk berdepan sebarang situasi kekecohan. -Bernama
Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 mengaktifkan unit khas Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) bagi membantu kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kali ini.
Penolong Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau DSP Abd Halim Ahmad berkata, anggota dalam unit itu adalah terlatih untuk berdepan sebarang situasi kekecohan.
"Tujuannya cuma satu, untuk memastikan keamanan dapat dikekalkan," katanya ketika ditemui dalam Program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) mengawal Rusuhan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini pada Khamis.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata, lebih 600 pegawai dan anggota polis di IPD Tawau, akan bertugas sepanjang PRN.
"Semua elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengadakan persiapan rapi untuk memastikan keadaan keselamatan sentiasa terkawal, untuk daerah Tawau serta Kalabakan," katanya.
"Penyokong parti diminta untuk tidak membuat provokasi terhadap mana-mana kumpulan, parti, kaum, bangsa dan agama, agar PRN yang diadakan nanti berjalan lancar dan pasukan keselamatan boleh meneruskan penugasan dengan sempurna," katanya.
Peter berkata, pihaknya akan turut memantau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal pandemik COVID-19 di tempat awam, supaya penyokong parti dapat mengikuti SOP yang ditetapkan.
--BERNAMA
#keselamatan #operasi #Pasukan Gerakan Am #PDRM #PGA #pilihan raya #pilihan raya negeri #polis #Sabah #Tawau
;