Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan khabar angin mengenai keperluan kuarantin wajib kepada petugas yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, perkara itu adalah berita palsu dan beliau sendiri akan mengumumkannya jika ia benar.

"Itu 'fake news'. Tidak ada (sebarang kenyataan) konon-kononnya saya... Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa (petugas) yang balik dari Sabah ke Semenanjung akan dikuarantin.

" Tak betul. Pergerakan dari Sabah ke Semenanjung masih bebas seperti dahulu. Kalau ada pengumuman mengenai kawalan (kuarantin) ia (sepatutnya) dibuat oleh saya. Saya yang akan membuat pengumuman," katanya.

BACA: KKM teliti kuarantin wajib terhadap individu pulang dari PRN Sabah

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jentera Barisan Nasional (BN) Libaran sempena PRN Sabah Ke-16 di Markas UMNO BN di Bandar Labuk Jaya, Sandakan, pada Sabtu.

Terdahulu, tular di media sosial kononnya individu yang pulang dari Sabah ke Semenanjung atau Sarawak akan dikuarantin wajib.