PRN Sabah: Pengundi teruja buang undi walaupun berdepan COVID-19

Assim Hassan
September 26, 2020 13:59 MYT
Siti Noorsaadah Noortaip berhati-hati keluar mengundi dalam ancaman pandemik. - Astro AWANI
“Saya teruja mahu membuang undi hari ini walaupun dalam keadaan COVID-19... risau sikit tetapi SOP keselamatan dipraktikkan."
Itu kata pengundi, Siti Noorsaadah Noortaip ketika ditemui Astro AWANI di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran.
Baginya, sebagai rakyat Malaysia, tanggungjawab kepada negara itu perlu dilaksanakan.
“Ini merupakan kali kedua saya mengundi. Berbanding pilihan raya umum lalu ia sedikit berbeza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
“Kita perlu pakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan sentiasa memastikan tangan kita bersih. Ini adalah norma baharu. Saya teruja mahu turun mengundi,” katanya.
Akui Siti Noorsaadah lagi, proses pengundian juga dilihat baik apabila petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bukan itu sahaja katanya, para pengundi juga memahami peraturan itu termasuk memakai pelitup muka ketika mengundi.
“Jelas kelihatan petugas dan orang yang datang untuk mengundi semua menjaga SOP masing-masing,” katanya.
Bagi anak muda Saidatul Nazihah Rahman, 24 tahun berkata, pengundian pada norma baharu itu dilihat mencabar.
Bagaimanapun, katanya, langkah itu penting untuk memastikan kesihatan para pengundi terjamin.
“Memang la rasa lain daripada pilihan raya sebelum ini tetapi saya rasa bagus memastikan keselamatan dan kesihtan kami pengundi-pengundi di sini supaya tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.
BACA: Ikuti perkembangan PRN Sabah di sini
LAPOR LANGSUNG: Hari penentuan di Sabah
#cerita rakyat sabah #COVID19 #pandemik #pengundi #PRN Sabah #Siti Noorsaadah Noortaip
;