PRN Sabah: Pengundi pos jangan tular kertas undi di media sosial - SPR
Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 17, 2020 16:23 MYT
September 17, 2020 16:23 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengingatkan kepada semua pengundi pos Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) yang disertakan.
Pengundi pos juga diingatkan agar segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 26 September 2020 (Sabtu).
Selain itu, pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, SPR memaklumkan telah mengeluarkan sebanyak 19,010 kertas undi pos bagi PRN Sabah ke-16.
Pengeluaran kertas undi pos bermula dari 14 sehingga 16 September 2020 dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 73 kawasan DUN.
Kesemua 19,010 undi pos tersebut terdiri daripada 17,288 bagi kategori Borang 1A (petugas pilihan raya), 50 bagi Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara, 78 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 1,594 kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).
LAPOR LANGSUNG: Momentum kempen berterusan, pengundi sedang menilai
Menurut kenyataan itu lagi, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.
SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati yang telah dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos tersebut.
#kertas undi
#keselamatan
#Malaysia
#pengundi pos
#pilihan raya
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#undi pos