PRN Sabah: Pengundi muda meningkat, namun calon 'berusia' lebih 80 peratus - Seeds
Harits Asyraf Hasnan
September 14, 2020 15:57 MYT
September 14, 2020 15:57 MYT
Parti yang menampilkan calon muda dan muka baharu dilihat mempunyai kelebihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Pengerusi Pertubuhan Pengupayaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (Seeds), Dr Arnold Puyok berkata pencalonan golongan muda serta muka baharu itu dijangka bakal menggalakkan lagi pengundi untuk keluar mengundi.
"Kita telah melakukan kajian dan melihat bahawa faktor umur itu penting kerana jumlah pengundi muda di Sabah semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya.
"Bukan itu sahaja, kalau lihat calon-calon yang dikemukakan oleh parti-parti yang bertanding, ramai daripada calon-calon yang diketengahkan adalah calon muda dan baharu.
"Bagi saya, ini sedikit sebanyak menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi, yang menarik kalau kita lihat banyak kempen-kempen yang sudah dilakukan di media sosial dan sebagainya.
"Kempen-kempen ini juga secara tidak langsung akan mendorong lebih rama orang untuk keluar mengundi," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Bagaimanapun, mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah calon muda dan muka baharu yang dipertandingkan masih tidak dapat menandingi hampir 80 peratus calon yang berusia 40 tahun dan ke atas.
Calon paling tua yang ditampilkan pada PRN kali ini adalah Taraji Ahmad, 75 tahun yang bertanding atas tiket Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
Sementara calon paling muda ialah Yillson Yanggun, 23 tahun, calon untuk kerusi DUN Tandek bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mewakili Barisan Nasional (BN).
Menurut Seeds, pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun merangkumi 17.75 peratus daripada keseluruhan pengundi Sabah, manakala antara 31 hingga 40 tahun sebanyak 25.99 peratus.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan pengundi Sabah yang layak memilih kali ini ialah sekitar 1.124 juta orang.
Dalam kajian itu, Seeds berpendapat, pengundi dalam golongan antara 21 hingga 40 tahun adalah paling agresif, sukar dijangkakan, mudah bertukar pendirian, dan sering kali dipengaruhi emosi serta berani mengambil risiko.
“Untuk mempengaruhi mereka, memerlukan banyak pragmatism, kesabaran, serta dialog yang inovatif,” menurut kajian yang bertajuk ‘Seeds Sabah Electoral Project 2020’ itu lagi.
Seeds berkata, kumpulan pengundi ini juga dilihat sebagai mempunyai gaya pandangan tersendiri terhadap sesuatu isu, dan mempunyai kelebihan mengakses maklumat dengan cepat melalui media sosial dan alam digital.
Jelas badan pemikir itu lagi, golongan ini tidak mempunyai kesetiaan yang tetap kepada mana-mana parti politik.
Seeds berkata, kecenderungan pengundi muda untuk memilih, boleh berubah daripada kredibiliti calon, kepada faktor parti, dalam masa sehari atau pun dalam masa sejam, jika motivasi itu cukup kuat.
#Barisan Nasional
#Dr Arnold Puyok
#kajian pilihan raya
#media sosial
#pilihan raya
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya