PRN Sabah: Pengundi boleh semak saluran mengundi bermula hari ini - SPR

Fauzi Suhaimi
September 7, 2020 17:28 MYT
PRN Sabah akan menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, tambahan 13 kerusi berbanding 60 pada pilihan raya terdahulu selepas Dewan Rakyat meluluskan syor SPR agar kerusi DUN Sabah ditambah.
Semua pengundi yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 boleh mula membuat semakan pusat dan saluran tempat mengundi mulai hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, semakan itu boleh dibuat melalui empat kaedah iaitu portal SPR, aplikasi MySPR Semak, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hotline SPR.
Beliau berkata, SPR juga mengambil inisiatif menghantar kad pengundi kepada 1,103,646 pengundi biasa untuk memudahkan mereka merancang pergerakan terutamanya ketika keluar mengundi pada 26 September nanti.
"Kad pengundi ini mengandungi maklumat pusat, saluran, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.
"Maklumat itu akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari pengundian iaitu 26 September ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin berharap supaya semua penggundi boleh melaksanakan tanggungjawab mengikut masa yang dicadangkan.
Bagaimanapun jelas beliau, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa dicadangkan, mereka masih boleh mengundi mengikut kelapangan masa sendiri bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau berdasarkan waktu mengundi diwartakan.
"Selain itu, cadangan masa ini bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.
"Ini selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak COVID-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang dikuatkuasa," jelasnya.
Dalam pada itu, SPR menegaskan pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi.
"Diingatkan juga supaya semua pengundi membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.
"Selain itu, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pilihan Raya Umum DUN (PRN) Sabah boleh membelinya di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah di Kota Kinabalu," ujarnya.
PRN Sabah akan menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, tambahan 13 kerusi berbanding 60 pada pilihan raya terdahulu selepas Dewan Rakyat meluluskan syor SPR agar kerusi DUN Sabah ditambah.
#COVID-19 #koronavirus #Kota Kinabalu #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #PRN Sabah #PRU #Putrajaya #Sabah Memilih #Suruhanjaya Pilihan Raya
;