PRN Sabah: Pengagihan kerusi Warisan, PH dan sekutu di fasa akhir

Ridzal Abdullah, Ruzaini Zulkepli
September 6, 2020 14:47 MYT
Anwar (kiri) bertemu Shafie pagi tadi bagi memperhalusi soal pengagihan kerusi di antara parti sekutu. - Foto PKR
Pengagihan kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan komponen Pakatan Harapan (PH) dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di mana ia kini berada di fasa terakhir.
Menurut beliau, Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan satu pertemuan dengan Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi memperhalusi soal pengagihan kerusi antara parti sekutu.
"Pada pertemuan pagi tadi, ia turut disertai oleh Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dan saya sendiri.
"Antara tujuannya adalah memperhalusi ke arah memuktamadkan semua perkara berkaitan PRN di Sabah.
"Kita mempunyai seminggu lagi untuk dimuktamadkan, perkembangannya banyak cuma kita ada proses untuk memperhalusinya kerana mesti ambil kira kawasan melibatkan parti UPKO, DAP atau Amanah," katanya di Kota Kinabalu, pada Ahad.
Jelas Saifuddin lagi, perkara itu bagaimanapun merupakan lumrah dalam pembahagian kerusi yang bakal dipertandingkan.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, PKR telah bertanding di lapan kerusi sebelum memenangi dua daripadanya iaitu di DUN Api-Api dan Inanam.
#Anwar Ibrahim #DAP #Pakatan Harapan #pilihan raya #pilihan raya umum #PKR #PRN Sabah #Sabah Memilih #Shafie Apdal #Warisan
;