PRN Sabah: Pemimpin Pusat jangan jual cerita dongeng ketika kempen
Assim Hassan
September 20, 2020 15:29 MYT
September 20, 2020 15:29 MYT
Pemimpin Pusat yang datang ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri ke-16 diingatkan tidak menyalahgunakan kemasukan dengan menyampaikan ‘cerita dongeng’ ketika berkempen.
Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Darell Leiking berkata, kebebasan mereka masuk ke Sabah tanpa sekatan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya ketika berkempen tanpa membuat tuduhan melulu.
Jelasnya, beliau sedar apabila pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, beberapa pemimpin dari PKR, DAP disekat masuk ke Sabah oleh kerajaan negeri pada ketika itu ditadbir Barisan Nasional.
“Tetapi dalam kerajaan Warisan kita tidak beri arahan untuk menyekat kemasukan mereka.
“Ini kerana kita percaya kepada demokrasi. Bagaimanapun bila datang ke sini (Sabah) jangan membuat cerita dongeng. Itu sahaja (nasihat),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan Walkabout di Tamu Donggongon, Penampang pada Ahad.
Tambah Darell, adalah penting untuk setiap pemimpin Pusat yang datang ke negeri ini mengamalkan sikap tanggungjawab ketika berkempen.
Terdahulu, beberapa pemimpin Pusat dari Bersatu, Barisan Nasional, PKR, DAP dan Amanah berkampung di Sabah sempena PRN ke 16.
Setakat ini, tiada mana-mana pemimpin Pusat yang disekat ketika memasuki negeri ini.
#Barisan Nasional
#calon Warisan
#DAP
#Darell Leiking
#demokrasi
#DUN Moyog
#pemimpin Pusat
#Penampang
#pilihan raya
#PKR
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#Tamu Donggongon