PRN Sabah: Norma baharu tidak halang pengundi tunai tanggungjawab - SEEDS

Ridzal Abdullah, Ruzaini Zulkepli
September 6, 2020 13:52 MYT
Dr Arnold Puyok berkata, kejayaan pengendalian dalam beberapa siri PRK pada era norma baharu ini juga mempengaruhi sentimen berkenaan. - Foto Arnold Puyok
Norma baharu susulan pandemik COVID-19 dijangka tidak menghalang para pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.
Menurut kajian Pertubuhan Pengupayaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS), pematuhan Prosedur Operasi Standart (SOP) akan mendorong kepada keupayaan itu.
Pengerusinya, Dr Arnold Puyok berkata, kejayaan pengendalian dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) pada era norma baharu ini juga mempengaruhi sentimen berkenaan.
"Kajian menunjukkan bahawa yang ingin mengundi itu memang ramai mereka tidak terkesan dengan COVID-19, bahkan sekarang pun ramai yang sudah keluar dan mengamalkan SOP tapi maksudnya di sini, SOP itu tidak menghalang orang berinteraksi di luar. Itu yang pertama.
"Yang kedua, kerana kita berjaya mengendalikan beberapa pilihan raya yang terdapat di Malaysia, dengan menggunakan SOP dan itu sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada pengundi walaupun bahawa dalam keadaan COVID-19 kalau SOP itu jelas, itu tidak menjejaskan mereka untuk keluar mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Seminar SEEDS berkaitan Pilihan Raya di Sabah, di Kota Kinabalu, pada Ahad.
Ulas Arnold lagi, SEEDS telah melakukan kajian secara rawak melibatkan seluruh negeri ini bermula 4 hingga 31 Ogos lalu.
Terdahulu dalam seminar berkenaan, turut membincangkan hasil kajian mereka terhadap populariti dan momentum parti-parti akan bertanding pada PRN kali ini.
Jelas SEEDS, PRN Sabah bakal memperlihatkan satu saingan sengit di antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutu, Perikatan Nasional (PN) dan sekutu, Barisan Nasional (BN) dan sekutu.
Bahkan jelas Arnold, kemunculan beberapa parti tempatan seperti Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) juga dilihat berupaya menjadi third force (kuasa ketiga) serta kingmaker (penentu) sekiranya keputusan PRN menjadi seri sepertimana berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.
#Arnold Puyok #koronavirus #pandemik #pilihan raya #pilihan raya kecil #pilihan raya umum #PRN Sabah #Sabah Memilih #SEEDS #SOP
;