PRN Sabah: Negeri Sabah 'hancur' di bawah Warisan - Hajiji
Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 16, 2020 15:30 MYT
September 16, 2020 15:30 MYT
Gabungan Rakyat Sabah yakin mampu memberikan hala tuju baharu negeri Sabah jika diberi mandat pada 26 September ini.
Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor berkata mandat itu amat diperlukan kerana mendakwa negeri itu seakan tidak berfungsi sejak ditadbir Parti Warisan Sabah.
"Kita akan tawarkan suatu yang lebih baik dan bertujuan membaik pulih ekonomi negeri Sabah yang semakin hancur akibat pentadbiran Warisan.
"Negeri ini akan maju ke hadapan selepas ini jika diberi mandat pada 26 September ini," katanya dalam ucapan di majis pelancaran 'Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah' di Kota Kinabalu pada Rabu.
ANDA MUNGKIN BERMINAT DENGAN ARTIKEL INI:
Gabungan tersebut terdiri dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Jelas Hajiji, tawaran ini akan menjadi lebih baik kerana sokongan penuh diberi Kerajaan Persekutuan.
"Gabungan tiga parti ini amat meyakinkan - Gabungan Rakyat Sabah - PN, BN dan PBS - akan mendapat menawarkan satu tawaran baharu yang berkonsepkan 'Sayangi Sabah'.
"Ia juga bertujuan melahirkan kecintaan terhadap Sabah dan memacu negeri ini ke arah lebih baik.
"Keyakinan ini kita jelaskan kerana kepimpinan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan yang terbaik dan kita dapat saksikan semua itu termasuk aspek menangani isu COVID-19 dan masalah ekonomi," katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam ucapannya berkata, BN akan terus memperjuangkan nasib rakyat dan memastikan rakyat akan kecapi kehidupan yang lebih baik jika mereka menang.
"Manifesto (Aku Janji) ini kita akan tunaikan 100 peratus. Kita bukan Warisan yang menabur janji yang macam-macam tetapi tidak tunaikan," kata calon bagi kerusi DUN Lamag itu lagi.
Dengan pembentangan manifesto itu, Bung Moktar berkata, rakyat Sabah diharap dapat terus memberi kepada calon gabungan itu, khususnya dari BN sendiri.
#Aku Janji
#Barisan Nasional
#COVID-19
#Hajiji Mohd Noor
#Majlis Pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah
#Manifesto Parti
#Parti Bersatu Sabah
#Perikatan Nasional
#Perikatan Nasional Negeri Sabah