PRN Sabah: Muhyiddin yakin GRS menang Sabtu ini
Assim Hassan
September 24, 2020 22:51 MYT
September 24, 2020 22:51 MYT
Tan Sri Muhyddin Yassin yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mendapat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.
Perkara itu disandarkan Perdana Menteri selepas melihatkan sokongan rakyat di negeri ini kepada GBS ketika kempen jelajah PRN Sabah.
"Nampaknya sokongan rakyat Sabah kepada calon-calon yang bertanding atas tiket parti-parti dalam GRS begitu jelas apabila ribuan keluar menunjukkan pernyataan sokongan untuk melihat bahawa ada perubahan besar yang berlaku selepas 26 September ini.
"Saya kagum serta bangga dan saya berasa inilah petanda-petanda awal yang menunjukkan bahawa GRS akan mencapai kemenangan besar," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gabungan Rakyat Sabah (GBS) di Kampung Sendil, Putatan pada malam Khamis.
Turut hadir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim; Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup serta Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Selain itu, Perdana Menteri menjelaskan PRN Sabah yang diadakan kini adalah dalam keadaan norma baharu dan lebih penting dari biasa kerana ia merupakan penentu bagaimana sebuah kerajaan hendak dibentuk untuk menguruskan masalah dihadapi negara khususnya di Sabah.
"Ia bukan sahaja mengenai masalah menguruskan pandemik COVID-19 tetapi juga bagaimana kita mahu memastikan kelangsungan kehidupan rakyat Malaysia dan Sabah itu sendiri.
"Ini kerana soal keselamatan dan nyawa manusia kita tidak buat main-main," katanya lagi.
#Gabungan Rakyat Sabah
#GRS
#Kampung Sendil
#Muhyddin Yassin
#Perdana Menteri
#pilihan raya negeri
#PRN Sabah
#Sabah
#Sabah Memilih