PRN Sabah: Mahu gerak solo, sedia terima tentangan sengit BN - Bung Moktar

Sinar Harian
November 3, 2024 08:20 MYT
Bung Moktar bersama ahli parti ketika hadir melancarkan Gerak 17 DUN Segama di Kunak. - Foto Sinar Harian
KUNAK: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan parti yang ingin bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang supaya bersedia untuk menerima tentangan daripada BN.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pihaknya tiada halangan untuk mana-mana parti yang ingin bergerak solo walaupun kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan termasuk kemungkinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan turut serta.
"UMNO dan BN Sabah perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika tiada kesepakatan untuk bergabung dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRN17.
"Jika mereka bergerak solo, BN dan UMNO Sabah tiada halangan. Malah saya mengajak semua parti yang ingin bergerak secara solo dalam PRN akan datang agar bersiap sedia untuk menerima tentangan sengit dari kami," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Gerak 17 UMNO bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak pada Sabtu.
Bung Moktar berkata demikian susulan ada beberapa pemimpin parti tempatan membayangkan mereka akan bergerak solo dalam PRN yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa UMNO dan BN Sabah tidak sesekali gentar dengan keputusan mana-mana parti tersebut dan menasihatkan mereka yang sudah mengumumkan tidak mahu bergabung atau bergerak sendiri bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah.
"Kebelakangan ini banyak kecenderungan parti tertentu di Sabah termasuk GRS untuk bertanding secara bersendirian dalam PRN akan datang, saya cadangkan jangan tarik balik kenyataan tersebut.
"Teruskan, biar kita bersabung seperti ayam jantan di gelanggang," cabarnya.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi, BN dan UMNO Sabah lebih suka kalau banyak parti mahu bertanding secara solo.
"Bagi kami ia bukan satu masalah, ini kerana BN dan UMNO Sabah telahpun bersedia dan menyusun strategi yang baik dalam PRN kali ini.
"UMNO dan BN merupakan sebuah organisasi lengkap, jentera kita sudah bersedia. Kita telah melalui beberapa siri PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK), termasuk soal penipuan sudah kita lalui dan akan menjadi pengalaman serta pengajaran untuk kita lebih bersedia serta untuk fokus mencapai kejayaan," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai soal kerjasama untuk PRN kali ini, beliau sekali lagi menegaskan pendirian UMNO dam BN Sabah bahawa parti itu hanya akan menjalin kerjasama bersama parti gabungan lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian antara satu sama lain iaitu bukan sahaja memberikan manfaat kepada parti tapi juga rakyat Sabah secara keseluruhannya.
"Pengalaman yang pernah kita lalui dari proses gabungan sebelum ini telah menafikan sumbangan UMNO dan BN, jadi perkara ini turut mematangkan UMNO Sabah.
"Sebarang keputusan untuk bergabung dengan lain-lain parti tidak akan merugikan UMNO, yang penting UMNO Sabah perlu diperkuatkan terlebih dahulu," katanya.
Berucap pada majlis itu, Bung Moktar mengajak pemimpin dan ahli parti di semua peringkat agar memberikan keutamaan untuk memperkukuhkan parti terlebih dahulu
Katanya, soal kerjasama atau bergerak secara solo ia akan ditentukan kemudian apa yang penting ketika ini UMNO dan BN perlu memperkuatkan jenteranya sendiri.
"Sama ada kita akan bersama gabungan atau bersendirian menghadapi PRN akan datang itu bukan isu utama, keutamaan ialah kepada kekuatan dan persediaan UMNO dan BN. Bila kita bersatu dan kuat, kita akan dihormati," katanya. - Sinar Harian
#Bung Moktar Radin #BN Sabah #UMNO #PRN Sabah
;