PRN Sabah: Lima penjuru bukan disebabkan kegagalan sebuah parti
Faris Danial Razi
Ogos 4, 2020 21:29 MYT
Ogos 4, 2020 21:29 MYT
Pertandingan lima penjuru yang mungkin berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sabah bukan menandakan kegagalan sesebuah parti.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung, sebaliknya menyifatkan ia sebagai dinamik politik di negeri itu.
“Pertembungan lebih daripada lima penjuru itu (jika berlaku) bagi saya bukannya disebabkan oleh kegagalan Warisan dengan UPKO atau UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) -menyelesaikan masalah pertindihan tuntutan kerusi di antara mereka.
“Ia sebaliknya disebabkan oleh dinamik politik Sabah. Kita sudah biasa bahawa setiap kali pilihan raya di Sabah, akan ada banyak parti parti yang bertanding.
“Kita jangkakan parti baru yang diambil alih oleh Datuk Seri Anifah Aman iaitu Parti Cinta Sabah selain Parti Gagasan Rakyat Sabah juga mempunyai calon-calon yang ingin mereka turunkan dalam pilihan raya akan datang ini,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan sehingga lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
Mengulas lanjut mengenai calon yang bakal bertanding pada PRN Sabah, Kuok Tiung berkata muka baharu dan orang muda adalah dua perkara berbeza.
“Muka baharu dengan orang muda adalah dua perkara berbeza. Setiap kali pilihan raya biasanya akan ada parti yang bertanding ini cuba melobi supaya memberi ruang kepada orang orang muda menjadi calon.
“Pada pilihan raya kali ini, kita menjangkakan akan melihat ramai yang dipanggil sebagai orang lama tapi muka baharu.
“Maksudnya orang lama ini mungkin dia kakitangan awam, mempunyai nama dalam masyarakat. Juga, mereka mempunyai populariti dikenali oleh orang ramai," katanya.
#Abdul Rahman Dahlan
#Anifah Aman
#calon
#Dr Lee Kuok Tiung
#majlis tertinggi
#pilihan raya
#politik
#PPBM
#rakyat
#UMNO