PRN Sabah: Liew Yun Fah kembali ke pentas politik, Harapan Rakyat bertanding di 4 DUN
Petrus Bernard
September 11, 2020 15:02 MYT
September 11, 2020 15:02 MYT
Mantan Naib Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Liew Yun Fah mengumumkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas 15 tahun berehat.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada 2004 itu akan bertanding atas tiket Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang baru diterajuinya selaku Presiden.
"Rakyat Tawau amat mengalu-alukan parti tempatan khususnya apabila saya memaklumkan parti ini diterajui oleh anak Tawau sendiri.
"Ini akan memastikan pembangunan di daerah Tawau yang sekian lama ketinggalan dapat direalisasikan," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Pada sidang media sama, beliau turut memaklumkan Harapan Rakyat akan bertanding di tiga lagi kerusi DUN di dalam Parlimen Tawau dan Kalabakan.
Selain Yun Fah di DUN Merotai, turut dicalonkan adalah Ariffin Kasim di DUN Balung, Yapp Yin Hoau di DUN Sri Tanjong serta Wong Jin Soon di DUN Kukusan.
Mengulas lanjut, katanya parti yang diterajuinya itu tidak akan bergabung dengan mana-mana parti lain namun bersedia memberi sokongan kepada kerajaan pemerintah.
"Apa yang lebih penting sekarang ini adalah untuk mendapat sokongan dan mandat rakyat terlebih dahulu pada PRN akan datang," katanya.
Beliau memaklumkan, parti itu kini mempunyai hampir 5,000 ahli berdaftar terutama di sekitar daerah Tawau.