PRN Sabah: Kempen hari pertama di DUN Lamag hambar
Assim Hassan
September 13, 2020 10:11 MYT
September 13, 2020 10:11 MYT
Hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kelihatan sedikit hambar.
Tinjauan Astro AWANI mendapati tiada perang bendera parti-parti bertanding di sepanjang Jalan Sandakan-Lahad, pekan Kinabatangan dan kampung-kampung di DUN itu.
Hanya beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dilihat sedikit bertenaga dengan bendera parti.
Bukan itu sahaja, sejak penamaan calon semalam, tiada kempen bertemu rakyat disusun calon-calon parti bertanding.
Hanya calon BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempunyai aturcara kempen pada sebelah petang dan malam hari ini iaitu masing-masing di PDM Bukit Garam dan Usaha Jaya.
Unit komunikasi calon Warisan, pula menjelaskan pihaknya belum lagi ada atur cara kempen.
Bagi calon Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Mohd Al Ruzainie Abd Rahman pula, jadual kempen dan menyantuni pengundi juga akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.
“Setakat ini belum ada lagi (jadual kempen). Insya-Allah kami sudah buat satu jadual gerakan kunjungan mesra dalam masa terdekat.
"Apa pun akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
DUN Lamag menyaksikan lima penjuru antara Bung Moktar Radin (BN), Mohd Ismail (Warisan), Mohd Al Ruzainie (PPRS), Razman Mayah (PCS) dan calon Bebas, Junny @ Karuak Abdullah.
DUN Lamag antara 13 DUN baharu dan mempunyai 8,159 pengundi berdaftar.
#Barisan Nasional
#Bung Moktar Radin
#calon
#Kinabatangan
#Mohd Al Ruzainie
#Mohd Ismail
#perpaduan
#pilihan raya
#pilihan raya negeri
#PRN Sabah
#Pusat Daerah Mengundi
#Sabah Memilih